Sabtu, 1 Januari 2011

 Kalau benarlah cinta itu lahir dari hati yang suci dan rela berkorban deminya, mengapa tidak ke jinjang pelamin pengakhirannya? Kalau benarlah cinta itu dari jiwa yang ikhlas, kenapa ada yang ternoda kerananya? Itulah lumrah cinta manusia.Hidup ini sukar diramalkan; terlalu penuh dengan kesukaran, kepahitan dan kesakitan. Bukan mudah sebenarnya untuk menggapai bahagia. Kadangkala betapa kebahagiaan itu cuba dihampiri, namun semakin jauh ia pergi.Engkaukah itu dalam tidurku? Engkaukah jua dalam jagaku? Cuma manusia sering terlupa, realiti tidak seindah mimpi. Cukupkah dengan lafaz cinta sahaja boleh menjanjikan bahagia? Cukupkah..?Kata orang... kita boleh jatuh cinta dalam sekelip mata tapi untuk melupakannya hampir sepanjang hayat. Sememangnya, cinta pertama terlalu sukar dilupakan. Meskipun tidak berakhir dengan satu ikatan suci, namun kenangan itu tetap utuh di hati, terpahat teguh di sanubari.Andai benar wanita itu penyeri hidup, mengapa mesti ada luka di hati mereka? Mengapa harus ada sengsara dalam nafas mereka?Cinta itu seumpama serangkai mutiara... kadang-kadang ia putus dan kita perlu mengarangnya sekali lagi. Kadang-kadang ia hilang, lalu kita harus mencarinya semula... tetapi kadang-kadang kita tidak mungkin menemuinya lagi; walau di mana-mana pun dan walau sampai bila-bila pun. Atau mungkin tiba-tiba kita telah menemui mutiara yang lain pula? Lalu perlukah kita karangkan semula cinta baru itu di tangkai hati kita?Kebahagiaan ini ibarat api yang membakar. Ia cukup menyeksakan. Cinta tak mengenal abang, kakak dan adik! Menang atau kalah bukan jawapannya. Cuma, jangan binasa mengikut rasa kerana impian itu lebih manis dari kenyataan.